Monday 5 September 2011

Piala Malaysia 2011

Sejarah Piala Malaysia bermula dengan Piala Malaya yang dipertandingkan pada awal 1920-an dimana kejohanan tersebut disertai oleh negeri-negeri di Tanah Melayu. Ketika itu perlawanan akhir melibatkan juara utara dan juara selatan yang melalui kejohanan dibahagian masing-masing. Pada tahun 1933, Piala Malaya telah ditukar nama kepada Piala HMS Malaya yang diambil semperna nama kapal perang HMS Malaya.

Pegawai memerintah kapal tersebut ketika itu kapten Ion Beauchamp Butler telah menyumbangkan sebuah piala dan seterusnya menamakan ia Piala HMS Malaya. Perang dunia kedua memaksa pertandingan ini diberhentikan dari 1942 hingga 1947 dan Piala HMS Malaya dimulakan semula pada 1948.

Pada tahun 1967 piala tersebut telah digantikan dengan piala yang baru iaitu Piala Malaysia. Tidak lama kemudian, pasukan dari borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei mula menyertai Piala Malaysia. Bermula tahun 1982, satu liga kejohanan diperkenalkan bagi menentukan siapa layak keperlawanan akhir. Ia akan dipertandingkan selepas liga bola sepak Malaysia tamat dan hanya pasukan yang menunjukkan pencapaian terbaik dalam liga sahaja layak bertanding untuk Piala Malaysia.

Namun pada tahun 1995 Singapura tidak lagi beraksi pada Liga Malaysia dan sekaligus tidak beraksi pada Piala Malysia. Ini kerana Persatuan Bolasepak Singapura menghadapi masalah dengan Persatuan Bolasepak Malaysia dan akhirnya menarik diri dalam dunia bola sepak Malaysia. Namun sebelum berundur, Singapura sempat menjuarai Piala Malaysia 1994 buat kali terakhir.

Pada tahun 1999, bilangan pasukan yang memasuki Piala Malaysia bertambah sebanyak 12 pasukan. setahun selepas itu, bilangan pasukan meningkat kepada 16 pasukan dan buat pertama kalinya pasukan berstatus kelab berjaya menyertai Piala Malaysia iaitu Johor FC.

Kelab pertama yang menjuarai Piala Malaysia dan setakat ini adalah MPPJ Selangor pada tahun 2003. Selangor merupakan pasukan yang mempunyai pencapaian paling tinggi dalam kancah Piala Malaysia dengan memenangi sebanyak 32 gelaran dan 16 kali naib juara. Manakala Kelantan merupakan juara terbaru yang merupakan piala Malaysia yg pertama bagi mereka.

Berikut adalah "preview" Piala Malaysia 2011 oleh blogger sukan Malaysia - Saudara Rizal Hasyim...

Secara ringkas, previu ikut kumpulan.

Kumpulan A (Perak, Kedah, Johor, Sabah)

Daripada empat pasukan ini, hanya Sabah belum bergelar juara Piala Malaysia. Perak berdepan kemungkinan hilang tonggak yang akan dibicarakan pada 7 September atas tuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil. Norizan Bakar dan Wan Jamak Hassan bukan saja bekas jurulatih kebangsaan, bahkan pernah menjulang Piala Malaysia, Cikgu Jan pada 2004 apabila lontaran Adrien Jurad Chamrong gagal didakap Megat Amir Faisal Ibrahim dan Wan Jamak pada 2009 apabila membantu Negeri Sembilan menamatkan penantian 61 tahun. Jadi mereka tahu resipi untuk muncul juara. Johor dalam proses membina semula reputasi manakala Sabah terlalu bergantung kepada Zainizam Marjan.

Ramalan: Kedah dan Perak ke suku akhir
Pemain bakal menonjol: Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Kumpulan B (Terengganu, Negeri Sembilan, PKNS, Sime Darby)

Susah nak ramal kedudukan empat pasukan tetapi selaku juara Piala FA, Terengganu dibuai keyakinan tinggi. Kepantasan adalah kunci taktik Irfan Bakti Abu Salim berteraskan larian tiga serangkai Abdul Manaf Mamat, Hadi Yahaya dan Ashaari Samsuddin, dibantu Joseph Kallang Tie dan Ismail Faruqi Asha'ari. Negeri Sembilan dikendalikan Azraai Khor Abdullah yang tahu nikmat muncul juara tapi tertekan dengan pengurusan yang mahu results, manakala Sime Darby dilihat mampu jadi pakej kejutan biarpun tanpa kehadiran pemain bertaraf bintang.

Ramalan: Terengganu dan Negeri Sembilan ke suku akhir
Pemain bakal menonjol: Abdul Hadi Yahaya (Terengganu)

Kumpulan C (Kelantan, Felda United, Johor FC, Sarawak)

Sekalipun tanpa Khairul Fahmi Che Mat yang tegas mementingkan misi skuad pra-Olimpik, Kelantan memiliki keupayaan melepasi halangan. Ada kekuatan di semua posisi dan daya kreativiti Norshahrul Idlan Talaha kunci melebur kubu lawan. Felda United dan Johor FC bakal berebut tempat kedua, dengan kedua-dua pasukan menyandar harapan kepada pemain veteran untuk mencarta hala tuju. Jika Johor FC bergantung harap kepada Rezal Zambery Yahya dan Eddy Helmi Manan serta Rahman Zabul dan Mat Saiful Mohammad, Felda mengharapkan Liew Kit Kong, Nizaruddin Yusof, Hamsani Ahmad, Kaironnisam Sahabuddin Hussain dan Azi Shahril Azmi untuk menyuntik keyakinan kepada anak buah E. Elavarasan. Sarawak pula mampu cipta sedikit kejutan, memandangkan Robert Alberts, arkitek kemenangan Kedah pada 1993, membimbing Bujang Senang. Bobby Gonzales di depan, Wong Sai Kong di tengah dan lima pertahanan yang kental mungkin formula yang cukup untuk menidakkan Felda atau Johor FC.

Ramalan: Kelantan dan Johor FC ke suku akhir
Pemain bakal menonjol: Norshahrul Idlan Talaha

Kumpulan D (Selangor, T-Team, Kuala Lumpur, PDRM)

Misi menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 harus memberi tekanan kepada Selangor. K. Devan sudah menang pelbagai gelaran tetapi masih kempunan Piala Malaysia. Tewas bermakna Devan harus ucap selamat tinggal kepada Selangor. T-Team dibarisi bintang lama yang berpegang kepada reputasi silam tapi harus miliki pengalaman mara ke suku akhir setidak-tidaknya. Kuala Lumpur pula berdepan masalah kewangan dan Razip Ismail tiada jalan lain selain berdoa dia masih ada kerja musim depan.

Ramalan: Selangor dan T-Team ke suku akhir
Pemain bakal menonjol: Amirulhadi Zainal

Pemain pinjaman seperti Failee Ghazli Muhammad (dari USM ke Perak), R. Surendran (Pahang ke Kelantan), Yusaini Hafiz Che Saad (ATM ke Sime Darby) dan G. Jeevananthan (USM ke Selangor) boleh bawa dimensi berbeza kepada pasukan.

Terus terang, aku mahu lihat kejutan. Kalau Sime Darby atau Sarawak ke suku akhir, ia bakal cetus fenomena baru. Bola sepak Malaysia harus sentiasa disuntik kesegaran dalam bentuk kejutan.

Satu lagi, setiap pasukan kena ada manual Liga M (gambar bawah) yang diberi kepada semua pegawai pasukan pada taklimat awal musim. Kalau baca dari A ke Z, pasukan negeri atau kelab sedar bahawa:

kalau keluarkan kata-kata kesat kepada pengadil atau menyerang secara menghampiri dengan agresif, garang atau memarahi dengan cara menyentuh, memegang, menolak, memegang baju, boleh dikenakan tindakan gantung dua perlawanan secara automatik dan didenda. Kalau lambat jawab surat pertuduhan, macam yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (PAFA) dalam kes lima pemain - Shahrulnizam Mustapa, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Nasril Nourdin, Azmeer Yusof dan Syazwan Roslan - pun kena tambah hukuman.

Pasukan kelab atau negeri juga kena pandai nak menang kes. Kalau ikut kod tatatertib FAM, rungutan dan aduan terhadap pegawai pertandingan (bermakna pengadil dan kawasan sewaktu dengannya) mesti dibuat dalam bentuk bertulis dan dihantar kepada Setiausaha Agung FAM dengan menyatakan bukti lengkap seperti klip video atau gambar. Jadi kenalah ada pegawai media yang pandai rakam video sambil ketuk story dalam laman web.



Ada kemungkinan Kedah lawan T-Team, Johor FC lawan Terengganu, Kelantan lawan Negeri Sembilan dan Perak lawan Selangor pada suku akhir. Separuh akhir Kedah lawan Kelantan, Terengganu lawan Selangor. Final Terengganu lawan Kelantan, ulangan final Piala FA. Ini ramalan saja...hehe

Sumber: Malaysian Sports Loose Cannon  
Results here: Malaysian Super League