Thursday, 18 April 2013

#THROWBACKTHURSDAY - Anugerah Sukan Negara



Pada tahun 1967, rancangan penganugerahan olahragawan dan olahragawati Malaysia telah diumumkan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Encik Senu bin Abdul Rahman di Kuala Lumpur.

Ketika mengumumkan rancangan ini di Parlimen, Encik Senu menyatakan bahawa penganugerahan ini bertujuan untuk memberi penghargaan kepada olahragawan dan olahragawati Malaysia yang menunjukkan prestasi yang cemerlang di semua peringkat serta membuktikan semangat kesukanan pada tiap-tiap tahun.

Terdapat dua tahap dalam penentuan pemilihan olahragawan dan olahragawati tahunan yang akan dilakukan oleh badan-badan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia, penulis-penulis dan pengulas-pengulas sukan.

Tahap pertama akan dilakukan oleh kesatuan-kesatuan sukan yang diperakukan sebagai mewakili kesatuan mereka pada peringkat nasional. Kesatuan-kesatuan ini akan diminta mencalonkan olahragawan dan olahragawati dari kesatuan-kesatuan mereka yang telah menjadi juara dalam sukan masing-masing seperti pemain bola sepak terbaik atau olahragawati terbaik. Pertubuhan Kebangsaan yang layak untuk pencalonan termasuklah, olahraga, badminton, bola keranjang, tinju, lumba basikal, kriket, bola sepak, golf, hoki, ragbi, sepak takraw, renang, menembak, tenis meja dan bola tampar.

Selepas penamaan calon ini, para hakim yang dianggotai oleh Majlis Olimpik Malaysia, Yayasan Sukan Negara, penulis-penulis dan pengulas-pengulas sukan akan membuat pemilihan secara pungutan undi dari kesatuan Sukan Kebangsaan.

Rancangan penganugerahan ini dilakukan pada tiap-tiap tahun, bermula pada tahun 1966. Pemenang menerima replika untuk disimpan kekal dan dihantar keluar negeri untuk mendapatkan latihan lanjutan.

Sementara itu pertubuhan kebangsaan yang menang akan menyimpan tropi olahragawan/olahragawati terbaik selama satu tahun. Pemenang kedua dan ketiga juga menerima anugerah di samping gelaran bagi pemenang tiap-tiap acara sukan.

Untuk permulaan, olahragawan dan olahragawati terbaik tahun 1966 telah dimenangi oleh M. Jegathesan dan M. Rajamani. Mereka telah menerima piala dari sebuah syarikat tempatan.

Pengumuman anugerah olahragawan dan olahragawati Malaysia ini telah mendapat sambutan yang hebat dari semua peminat sukan. la merupakan perangsang dan galakan kepada ahli-ahli sukan negara untuk mertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang sukan masing-masing.



Sumber: Arkib Negara Malaysia