Tuesday 16 May 2023

Adnan Saidin Raja Sepak Takraw Asia kembali ke rahmatullah


RAJA Sepak Takraw Asia 1986, Adnan Saidin kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 6 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Anaknya, Mohd. Faizal Adnan (kiri, gambar kanan) berkata kepada BebasNews, bapanya menghembuskan nafas terakhir akibat pendarahan dalam kepala yang semakin banyak, seperti yang dimaklumkan doktor.

“Kata doktor ketika memanggil kami ahli keluarga terdekat, keadaan jantung abah yang tidak berapa kuat menyebabkan pendarahan dan kerosakan semakin cepat.

“Yang OK selepas pemeriksaan hanya tekanan darah dan kandungan gula dalam badan abah,” kata Faizal, 38, bekas pemain negara, Kedah dan Negeri Sembilan serta anggota Polis Diraja Malaysia.

Adnan kata Faizal, telah dirujuk ke hospital berkenaan selepas dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar sejak 8 Mei lalu kerana tidak mempunyai pakar neurologi atau bahagian otak.

“Jenazahnya dimandikan di hospital itu, pagi ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lorong Haji Sham, Kampung Padang, Lebuh Raya Sultan Abdul Halim, Alor Setar selepas zuhur,” katanya.

Pemergian Allahyarham pada usia 66 tahun, meninggalkan seorang balu, Suraya Abdullah, 53, dan enam anak iaitu Nor Adilah, Nor Nadiah, Faizal, Nor Nadirah, Suhaila dan Mohd. Fariz Haikal dengan yang sulung, 44 tahun dan termuda, 19 tahun.

Isteri pertama Allahyarham, Allahyarham Ramlah Marzuki telah kembali ke rahmatullah pada 2000.

Adnan dilahirkan pada 25 Februari 1957 di Kampung Padang Tandop, Alor Setar.

Bermain di posisi apit kiri, beliau terkenal dengan libas pari dan mendapat gelaran Raja Sepak Takraw Asia 1986 daripada penganjur Kejohanan Sepak Takraw MAS-Utusan Malaysia-RTM di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Adnan juga ialah antara 12 pemain skuad pertama Malaysia yang berjaya membawa pulang Piala Raja Thailand pada 1985 selepas menewaskan Thailand ‘A’ dan ‘B’ 2-1 di Stadium Huamark, Bangkok.

Skuad kendalian Hassan Sulaiman, Zakaria Ali dan Talib Nasir ini turut diperkasa Salim Yusof, Jusri Rick, Omar Husin, Darus Mahmood, Noor Rani Adnan, Subari Said, Azman Ismail, Ismail Atan, Raziman Hassan, Zainal Abidin Othman dan Fauzi Ayob.

Beliau juga bergelar ketua pasukan negara dari 1980 hingga 1986 dan Kedah, 1976 hingga 1992, Olahragawan Kedah 1980 dan 1981 selain pesara sebuah syarikat utiliti negara dengan jawatan terakhirnya, Penyelia Rentang Kabel.

Gandingan serasinya dalam skuad negara dan Kedah ialah Shukri Ismail (apit kanan atau pengumpan) dan Azman (tekong) yang membantu Kedah menjulang Piala Emas Khir Johari pada 1981, 1985, 1986 dan 1987.

Bakat dan kejaguhan Adnan turut diwarisi Faizal yang memenangi pingat gangsa antara regu sepak takraw pantai Sukan Pantai Asia 2008 di Bali, Indonesia. — BebasNews